Tuesday 15 November 2011

Saran tubuh Kedai 1Malaysia

 Sinar Harian
Tarikh : November 14, 2011

KERDAU - Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said menyarankan supaya kerajaan menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen Kuala Krau bagi membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan keperluan harian.

Menurutnya, kewujudan kedai berkenaan secara tidak langsung membolehkan rakyat berbelanja serta mendapatkan barangan dapur pada harga lebih rendah bersesuaian dengan kemampuan mereka.

“Kita harap sebuah Kedai 1Malaysia yang menjual pelbagai barangan dapur dapat dibina di Dun Jenderak, Kerdau dan Jengka. Ia secara tidak langsung dapat membantu penduduk kurang berkemampuan mendapatkan barangan dapur pada harga lebih rendah.

“Kita perlu tahu bahawa Kedai 1Malaysia menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu antara 10 hingga 40 peratus,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Parlimen Kuala Krau, dekat sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar dan Pegawai JKM Temerloh, Haniza Tamin.

Dalam perkembangan lain, Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Krau berkata, seramai 584 penduduk di Dun Jenderak dan Kerdau dalam kategori orang kurang upaya (OKU), warga emas, sakit terlantar dan sebagainya menerima bantuan secara bulanan daripada JKM.

Menurutnya, ia sekali gus membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membantu golongan kurang bernasib baik, malah sentiasa memastikan mereka mendapat hak dan pembelaan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment