Thursday 2 August 2012

Felcra bayar dividen RM400 juta


Mohd. Shafie Apdal menyampaikan sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa Warga Felcra Berhad di Kerdau, Pahang semalam. Turut hadir, Tajuddin Abdul Rahman (kanan) dan Juzilman Basir (kiri).


TEMERLOH 30 Julai - Felcra menjadi agensi terbaru memberi duit raya apabila memperuntukkan RM400 juta bagi bayaran dividen kepada 85,000 penerokanya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dividen tersebut adalah hasil daripada pengeluaran ladang Felcra sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Katanya, peserta Felcra akan menerima durian runtuh masing-masing berdasarkan keluasan tanah milik mereka yang akan dibayar mulai minggu hadapan.

"Jika peneroka Felda menerima durian runtuh daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), peserta Felcra juga bakal menerima dividen hasil pengeluaran ladang mereka," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Peserta Felcra Berhad Bersama Menteri di Kerdau dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Juzilman Basir dan Pengarah Felcra Pahang, Datuk Mohd. Ghazali Abdul Karim.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM43.2 juta untuk peneroka Felda di seluruh negara.Sabtu lalu, RISDA turut mengagihkan dividen 2011 berjumlah RM314.6 juta untuk 39,306 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok dan Tanam Semula Komersial di seluruh negara.

Menurut Mohd. Shafie, pendapatan Felcra Berhad dijangka mencecah sehingga RM800 juta pada akhir tahun ini berikutan permintaan produk sawit yang tinggi di pasaran dunia.
Katanya, Felcra akan menyusun beberapa strategi bagi meningkatkan lagi hasil pendapatannya dengan menumpukan pada program pembajaan dan menggunakan benih kelapa sawit berkualiti bagi menghasilkan pengeluaran ladang yang berlipat kali ganda.

Selain hasil perladangan katanya, Felcra merancang untuk mempelbagaikan aktivitinya bagi menambah pendapatan dengan menceburi pelaburan hartanah dan sebagainya.
"Felcra tidak boleh terlalu bergantung pada hasil ladang secara berterusan kerana ia tidak seperti Felda yang mempunyai ladang yang luas, tetapi perlu melakukan sesuatu anjakan untuk menambahkan pendapatan agensi," katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pengurusan dan jentera pentadbiran Felcra yang terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing korporat.

Sunday 4 December 2011

Mini Stadium Temerloh gelanggang utama skuad Pahang

MINI Stadium Temerloh, Pahang akan menjadi gelanggang utama skuad Pahang menghadapi saingan Liga M musim depan.
Pengesahan itu diumum Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Dr Omar Othman berikutan Stadium Darulmakmur sedang dinaik taraf bagi menghadapi penganjuran temasya Sukan Malaysia XV (Sukma) Pahang tahun depan.

Menurutnya, Jawatankuasa Pertandingan PBNP yang bermesyuarat baru-baru ini, bersetuju memilih Mini Stadium Temerloh kerana memenuhi syarat ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Saya jangka kita tidak akan menghadapi masalah untuk menjadikan mini stadium itu sebagai gelanggang utama skuad Pahang.

“Antara syarat ditetapkan FAM ialah dari segi kapasiti penonton dan keselamatan kami tidak menghadapi masalah,” katanya semalam.

Dr Omar berkata demikian berikutan kerja menaik taraf Stadium Darulmakmur hanya akan siap pada bulan Mei tahun depan, kerana stadium itu menjadi gelanggang utama terutama bagi acara perasmian dan penutup Sukma 2012.

Justeru, beliau berkata, peminat sukan bola sepak di Pahang boleh menyaksikan aksi skuad mereka di Mini Stadium Temerloh yang boleh memuatkan kira-kira 5,000 penonton.

“Kita jangkakan sambutan hangat akan diberi penyokong Pahang terutama mereka yang berada di daerah Temerloh, Maran, Kuantan dan Jerantut.
“Jika sebelum ini mereka sukar untuk bertandang ke Stadium Darulmakmur berikutan faktor jarak, peluang ini tidak harus dilepaskan,” katanya.

sumber: harian metro
05 dis 2010

Tuesday 15 November 2011

Saran tubuh Kedai 1Malaysia

 Sinar Harian
Tarikh : November 14, 2011

KERDAU - Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said menyarankan supaya kerajaan menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen Kuala Krau bagi membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan keperluan harian.

Menurutnya, kewujudan kedai berkenaan secara tidak langsung membolehkan rakyat berbelanja serta mendapatkan barangan dapur pada harga lebih rendah bersesuaian dengan kemampuan mereka.

“Kita harap sebuah Kedai 1Malaysia yang menjual pelbagai barangan dapur dapat dibina di Dun Jenderak, Kerdau dan Jengka. Ia secara tidak langsung dapat membantu penduduk kurang berkemampuan mendapatkan barangan dapur pada harga lebih rendah.

“Kita perlu tahu bahawa Kedai 1Malaysia menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu antara 10 hingga 40 peratus,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Parlimen Kuala Krau, dekat sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar dan Pegawai JKM Temerloh, Haniza Tamin.

Dalam perkembangan lain, Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Krau berkata, seramai 584 penduduk di Dun Jenderak dan Kerdau dalam kategori orang kurang upaya (OKU), warga emas, sakit terlantar dan sebagainya menerima bantuan secara bulanan daripada JKM.

Menurutnya, ia sekali gus membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membantu golongan kurang bernasib baik, malah sentiasa memastikan mereka mendapat hak dan pembelaan sewajarnya.

Sunday 13 November 2011

Ekspedisi Remaja Kerdau (XREK 2011)

Program khas buat anak-anak kerdau. Ekspedisi Remaja Kental (X-REK) bersempena musim cuti sekolah khusus untuk remaja-remaja mukim Kerdau. 
Bagi warga ANKAD yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka untuk menyertai program tersebut boleh menghubungi nama yang berikut :-

En. Halim Jamaludin (Pengarah Program) - 014-513 8769
Cik Sakinah Shahabudin (Timb. Pengarah Program) - 014-533 5433
En. Mustakim Abdul Jalil (S/U Program) - 014-530 1536

Wednesday 9 November 2011

Karnival Jalur Lebar

Karnival Jalur Lebar 1Malaysia, bertempat di Padang Astaka, Majlis Daerah Temerloh, Pahang pada 12 – 13 November 2011 bermula jam 10 pagi hingga 7 petang.

Thursday 20 October 2011

Boleh Mohon RM 500

KANGAR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengedarkan borang permohonan bantuan RM500 membabitkan isi rumah yang memiliki pendapatan bulanan bawah RM3,000 mulai Disember ini.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata pengedaran borang itu akan membabitkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) selain melakukan pendaftaran di kawasan pedalaman.

Katanya, ia dilakukan bagi memastikan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 lalu diterima Januari tahun depan.
“Ia hanya sekeping borang yang ringkas dan borang satu muka surat itu adalah borang pengisytiharan yang perlu disahkan LHDN dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai cara mengisinya, malah boleh dilakukan secara dalam talian.

“LHDN akan memastikan segala keperluan sistem, peralatan dan tenaga kerja mencukupi bagi pelaksanaannya dan akan siap sedia selewatnya pertengahan bulan depan,” katanya selepas perasmian bangunan baru LHDN cawangan Perlis yang dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar.

Sementara itu beliau berkata, hasil kutipan LHDN meningkat 50 peratus tahun lalu berikutan kesedaran yang timbul dalam kalangan rakyat untuk menunaikan tanggungjawab membayar cukai.

Katanya, selain itu, penguatkuasaan yang dilancarkan serta taraf pematuhan yang semakin tinggi termasuk pelaksanaan sistem taksir sendiri juga menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil itu.

Menurutnya, di Perlis sahaja jumlah kutipan hasil meningkat 21 peratus dalam tempoh dua tahun iaitu dari RM 75.2 juta pada 2009 kepada RM91 juta tahun lalu.
“Sehingga Ogos ini kutipan hasil di negeri ini mencecah RM67.5 juta daripada 36,000 pembayar cukai dan 27,000 daripadanya adalah individu,” katanya.

Bangunan baru LHDN di negeri ini yang dikenali sebagai Wisma Hasil Kangar setinggi enam tingkat itu dilengkapi pelbagai kemudahan moden.

Bangunan bernilai RM25.5 juta itu mula beroperasi pada 25 November tahun lalu dengan 83 kakitangan bagi menggantikan pejabat lama yang beroperasi sejak 21 tahun lalu di tingkat tiga Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di sini.

Sumber : Harian Metro