Thursday 20 October 2011

Boleh Mohon RM 500

KANGAR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengedarkan borang permohonan bantuan RM500 membabitkan isi rumah yang memiliki pendapatan bulanan bawah RM3,000 mulai Disember ini.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata pengedaran borang itu akan membabitkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) selain melakukan pendaftaran di kawasan pedalaman.

Katanya, ia dilakukan bagi memastikan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 lalu diterima Januari tahun depan.
“Ia hanya sekeping borang yang ringkas dan borang satu muka surat itu adalah borang pengisytiharan yang perlu disahkan LHDN dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai cara mengisinya, malah boleh dilakukan secara dalam talian.

“LHDN akan memastikan segala keperluan sistem, peralatan dan tenaga kerja mencukupi bagi pelaksanaannya dan akan siap sedia selewatnya pertengahan bulan depan,” katanya selepas perasmian bangunan baru LHDN cawangan Perlis yang dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar.

Sementara itu beliau berkata, hasil kutipan LHDN meningkat 50 peratus tahun lalu berikutan kesedaran yang timbul dalam kalangan rakyat untuk menunaikan tanggungjawab membayar cukai.

Katanya, selain itu, penguatkuasaan yang dilancarkan serta taraf pematuhan yang semakin tinggi termasuk pelaksanaan sistem taksir sendiri juga menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil itu.

Menurutnya, di Perlis sahaja jumlah kutipan hasil meningkat 21 peratus dalam tempoh dua tahun iaitu dari RM 75.2 juta pada 2009 kepada RM91 juta tahun lalu.
“Sehingga Ogos ini kutipan hasil di negeri ini mencecah RM67.5 juta daripada 36,000 pembayar cukai dan 27,000 daripadanya adalah individu,” katanya.

Bangunan baru LHDN di negeri ini yang dikenali sebagai Wisma Hasil Kangar setinggi enam tingkat itu dilengkapi pelbagai kemudahan moden.

Bangunan bernilai RM25.5 juta itu mula beroperasi pada 25 November tahun lalu dengan 83 kakitangan bagi menggantikan pejabat lama yang beroperasi sejak 21 tahun lalu di tingkat tiga Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di sini.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment