Thursday 6 October 2011

Sokong anjur Festival Patin


TEMERLOH - Kementerian Pelancongan Malaysia mengalu-alukan Festival Patin Temerloh 2011 sempena mempromosikan lagi kempen ‘Fabulous Food’ yang berlangsung pada Oktober hingga Disember.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang, Idros Yahya berkata, dengan adanya festival ini diharap apat memartabatkan nama daerah Temerloh sebagai lokasi masakan ikan patin.

Menurutnya, melalui festival ini juga dapat memperkenalkan kepada orang ramai kepelbagaian masakan ikan patin dan bukannya dikenali sebagai patin masak tempoyak sahaja.

“Program festival patin ini bertepatan dengan masa promosi ‘Fabulous Food’ dan masakan patin ini sudah terkenal bukan sahaja di Pahang malah luar negeri ini.

“Kita mahu orang ramai merasai keenakan ikan patin melalui pelbagai jenis masakan seperti masak stim, pais tempoyak, asam pedas, panggang dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Idros berkata, selain itu pihaknya juga menyokong daerah-daerah lain untuk mengadakan program Fabulous Food ini tetapi dengan syarat bekalan makanan itu mencukupi serta mampu memenuhi permintaan.

Menurutnya, festival patin ini mampu dilaksanakan kerana bekalan ikan ini mencukupi sepanjang tahun dan di setiap gerai makanan di daerah ini mempunyai masakan ikan patin.

“Bagi mana-mana daerah yang mahu mengadakan program seperti ini untuk mempromosikan produk daerah masing-masing perlu memastikan bekalan makanan itu mencukupi.

“Bagi daerah Maran ia terkenal dengan nama jolokan bandar ayam kampung manakala Bera dengan Puyuh. Untuk melaksanakan program seperti festival patin ini perlu memastikan produk makanan daerah masing-masing mencukupi,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ingin merasai kepelbagaian masakan patin ini boleh hadir ke festival itu yang diadakan pada 7 hingga 9 Oktober ini di Dataran Tok Gajah.

Sumber: Sinar harian

No comments:

Post a Comment