Sunday 2 October 2011

Keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota Pahang



Pics : Penghulu Mukim Mentakab, Dieyaa

Jaga kemakmuran, kestabilan politik



TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Masjid Omar Abdul Aziz, Kerdau, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 10 Ogos – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan umat Islam agar memelihara kemakmuran dan kestabilan politik kerana ia menjadi kunci kepada kenikmatan beribadat.
Titah baginda, keamanan dan kestabilan politik membolehkan umat Islam menjalani ibadat dengan sempurna.
‘‘Kenikmatan beribadat adalah kerana disebabkan oleh iklim ekonomi, sosial dan politik yang baik,” titah baginda pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 282 orang tidak bernasib baik di Masjid Omar Abdul Aziz, Kerdau di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Mohd. Sharkar Shamsuddin dan ADUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Tengku Abdullah bertitah, unsur-unsur yang menggugat kestabilan boleh membantutkan kemajuan negara.
‘‘Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memelihara anugerah Allah itu tanpa cuba menggugat kemakmuran dan kestabilan politik yang tiada di negara lain,‘‘ titah baginda.
Tengku Mahkota Pahang turut menasihati rakyat supaya memberi sokongan kepada wakil rakyat yang membuktikan kesungguhan mereka untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat.
Dalam pada itu, Baginda bertitah, Istana Pahang akan meneruskan tradisi program berbuka puasa bersama rakyat di seluruh negeri bagi menyelami kehidupan masyarakat di akar umbi.
Titah baginda, program sedemikian dirancang untuk kesemua daerah sempena bulan Ramadan yang memberi peluang kepadanya sekeluarga bertemu pelbagai lapisan rakyat.
‘‘Kehadiran rakyat bersama berbuka puasa, solat berjemaah dan tarawih membuktikan hubungan baik itu perlu dikekalkan demi kesinambungan bangsa,” titah Tengku Abdullah.

No comments:

Post a Comment